Cetusan: Belajar Erti Bersyukur
Oleh :kalam-azimat
"Berdoa merupakan salah satu tanda bersyukurnya seorang hamba..."
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah
Bersyukur
kepada Allah SWT kerna dengan keizinNYA, Allah memberi peluang kepada
saya untuk terus tetap setia mencoretkan sesuatu dalam blog ini, tidak
lain tidak bukan untuk melaksanakan tuntutan sebagai hamba Allah selaras
dengan dalil yang masyhur Ad-Dzariat ayat 56 :
“Tidak aku (Allah) ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk berubudiyyah kepada Allah SWT”
Maka dengan pantas jari-jemari pemberiaan Allah ini bergerak tangkas menekan key board membentuk
kalimah yang diterjemahkan di layar skrin. Dengan niat berkongsi
sesuatu tentang syukur. Apakah kita benar-benar mengerti erti syukur
itu? Sama-sama koreksi diri.
Muqadimah
“Ala best nyer dia ada kereta Mercedez, aku ni apa la yang ada sangat”
“Ish, jeles nyer aku, ko punya rumah punyalah besar..Aku pula rumah setingkat je”
“Mantop kau, ada sampai 5-6 bijik kereta. Aku jangan haraplah. Sebiji pun tak larat”
Begitulah
sekitar perbincangan dan diskusi yang sering berlaku pada kita.
Rungutan-rungutan merasai ketidak cukupan sering sahaja berlegar-legar
dalam kotak minda kita. Hakikatnya merasai ketidakcukupan dengan apa
yang ada atau sinonim dengan istilah’ tidak bersyukur ‘ membuatkan diri
ini tidak selesa dan sentiasa ingin sama taraf dengan orang lain
walaupun tidak berkemampuan. Sedarkah kita ini adalah penyakit yang
harus dirawat dengan segera??
Sifat manusia
ini sememangnya akan sentiasa merasai tidak cukup dengan apa yang ada.
Misalnya telah mempunyai wang berjuta-juta di dalam bank, tetapi wang
tersebut dirasakan umpama seringgit dua sahaja.Masih banyak wang yang
belum dimiliki. Seandainya telah mempunyai sebuah rumah banglo yang
besar dan mewah. Terasa ingin menambah lagi 5 biji rumah rumah yang
lebih besar,mewah dan canggih lagi daripada yang asalnya. Sekiranya
telah mempunyai perabot rumah yang lengkap, terasa ingin mengubah suai
lagi dengan membeli perabot yang jauh lebih mahal. Ketika hanset yang
berada di tangan kita ini masih elok dan boleh diguna pakai. Kita
bertindak menukarnya kerana kekurangan ‘pixel’ dalam pakej kamera hanset
itu.
Saya teringat ketika belajar ekonomi
dahulu. Sumber ekonomi sememangnya tidak mencukupi jika ingin memenuhi
kehendak manusia yang tidak terhad! Perkara ini bertambah parah apabila
usahawan dan peniaga sentiasa meningkatkan mutu produk mereka sehingga
kita sentiasa merasa tidak cukup apa yang ada. Merasai ketidakcukupan
sehingga title ‘orang yang berharta’ umpama tidak benar.
Tidak
bersyukur ini sememangnya mengaburi mata kita. Selalunya nikmat yang
datang bertandang tidak kita ‘nampak’ tetapi yang dicari juga nikmat yang belum
diperolehi. Nikmat tangan, kaki, tubuh badan, kulit, rambut jarang
diambil peduli tetapi apabila Allah menarik kembali nikmat itu. Maka
ketika itulah mula menuduh Allah tidak sayangkan hamba bagaikan Allah
tidak pernah memberikan nikmat itu.
Itulah hakikat manusia yang serba lemah ini. Sering menghitung nikmat yang telah hilang!
Alangkah baiknya jika bersyukur!
Saya
bukanlah orang yang tidak inginkan kemewahan atau pun kesenangan hidup.
Bahkan itulah idaman setiap makhluk yang bergelar manusia. Saya hanya
mengajak untuk kita kembali berfikir akan apa yang kita miliki supaya
kita dapat belajar erti syukur. Pabila tidak belajar untuk syukur,
seolah-olah kita tidak mempunyai apa-apa pun dalam kehidupan termasuklah
harta, dan segala jenis kenikmatan. Bersyukurlah supaya dapat kita
menikmati kurniaan yang Allah SWT berikan.
Sebenarnya,
bersyukurnya kita dengan nikmat Allah yang berikan kepada kita adalah
suatu keputusan yang sangat tepat. Di sini saya gariskan dua ‘hadiah’
Allah sekali gus kepada hambanya yang bersyukur.
Bahagia, ketenangan hati
Bagi
individu yang sentiasa bersyukur pasti akan merasa tenang dan aman.
Pernahkah diperhatikan wajah individu ini? Amat pasrah dengan apa yang
dimiliki. Amat redha dengan ketentuan daripada Al-Khalik. Mereka ini
akan sentiasa tersenyum, bertenaga dan bahgia. Itulah hadiah Allah
kepada mereka yang menjadikan bersyukur moto kehidupan. Mereka ini jauh
daripada berprasangka, sifat tamak haloba, dengki-berdengkian dan
sebagainya. Tidak ada lintasan niat untuk memperkenakan orang lain.
Merasai cukup dengan rezeki yang ditentukan,cukup dengan kadar usaha
yang dicurahkan.
Sepatutnya, beginilah rupa seorang yang digelar muslim. Sentiasa redha akan ketentuan daripada Allah SWT. Inilah peribadi muslim yang dianggap ‘ajaib’ seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SWT.
“Sunggah
mengagumkan (ajaib) pada seseorang muslim, semua yang terjadi pada
dirinya selalu mendapat kebaikan. Kalau mendapat sesuatu kesenangan, ia
terus bersyukur. Maka itu sangat baik untuknya. Dan jika ditimpa
musibah, ia terus bersabar. Dan ini pun baik untuknya.”
(HR Muslim, daripada Suhaib Al-Rumi)
Hindari Sifat mazmumah
Rupa-rupanya
bersyukurnya kita adalah langkah bijak untuk lari daripada sifat
mazmumah. Hati yang sentiasa redha dengan ketentuan tidak mudah mengutuk
dan mencela qada’ dan qadar Allah SWT. Segala jenis sifat mazmumah
seperti tamak haloba, pentingkan diri sendri, berdengki dan sebagainya
akan secara automatik hilang terus daripada dari kita. Seperti kita
sedia maklum , kes santau (menghantar ‘penyakit’ atau ‘penunggu’ kepada
orang lain) merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan di merata pelusuk
negara adalah akibat berdengki yang lahir daripada sifat kufur(tidak
bersyukur ini). Maka tidakkah diperhatikan akan indahnya bersyukur ini.
Merawat gundah gulana jiwa disamping menyingkirkan dosa dan noda.
Khatimah
Saya
akui bersyukur ini kekadang sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi
seandainya mata ini sering sahaja melihat ‘kelebihan’ orang lain
berbanding diri sendiri. Nampak sahaja cacat cela, kelemahan, kekurangan
dan keburukan bertompok atas diri kita. Rawatan untuk penyakit ini adalah sentiasa bersyukur atas kurniaanNYA.
Saya teringat akan firman Allah SWT :
“Dan
ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
nescaya Aku akan tambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari
(nikmat Allah), Maka sesungguhnya AzabKU amatlah pedih”
(Surah Ibrahim : ayat 7)
Kita bersyukur maka Allah akan tambah nikmat! Jika kufur tunggulah azabNYA!!! Nauzubillah!!!
Jadi apakah pilihan kita???
Hakikatnya, bersyukur itu juga merupakan nikmat.
Ayuh, kita bersyukur dengan apa yang ADA sebelum berubah menjadi TIADA!!!
No comments:
Post a Comment